Diringkaskan, teknologi sememangnya memainkan peranan yang begitu penting dalam kehidupan harian kita.
Semua pasti bersetuju kalau kami katakan kemajuan teknologi seperti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sangat membantu dalam kehidupan harian manusia pada hari ini.
Sebagai contoh, dengan adanya internet, urusan komunikasi dan perhubungan seharian kita bukan sahaja dipermudahkan, malah semakin lancar termasuklah dalam bidang pendidikan dan juga pekerjaan.
Jika diringkaskan, semuanya di hujung jari anda!
Namun pernahkah anda terfikir apa yang akan terjadi sekiranya teknologi digital seperti internet tanpa wayar tidak pernah wujud atau tidak secanggih sekarang?
Tak perlu pergi jauh kerana kami sendiri pernah melaluinya sekitar 25 tahun yang dahulu.
Jadi di bawah kami kongsikan 5 aktiviti yang dahulunya terbatas, tapi kini tidak lagi dengan adanya teknologi.
#1 Bekerja dari rumah (WFH)
Bayangkan pandemik yang sedang melanda negara ketika ini berlaku di era dunia belum lagi menggunakan internet. Pasti banyak urusan harian terganggu.
Nak atau taknak, anda tetap perlu masuk ke pejabat atau tempat kerja kerana belum ada kemudahan untuk anda menyiapkan tugasan di rumah.
Anda terpaksa bersemuka dengan rakan sekerja untuk menyiapkan sesuatu tugasan berkumpulan. Malah ada juga perlu berjumpa dengan majikan, rakan sekerja, pelanggan atau sesiapa sahaja untuk berbincang tentang sesuatu perkara.
#2 Tidak wujud istilah PdPR atau belajar di rumah
Sama seperti bekerja di rumah, belajar di rumah baik secara solo atau dalam kumpulan yang besar suatu masa dahulu agak terbatas dan hanya boleh dilakukan secara bersemuka.
Melainkan anda dikategorikan sebagai orang berada dan mampu membayar tutor untuk datang ke rumah, kaedah sebegini agak sukar dilakukan oleh orang biasa.
Nak bergantung pada buku teks sahaja pasti tidak cukup memadai bukan?
Namun kini semua itu boleh dilakukan hanya dengan menggunakan capaian internet dan peranti seperti komputer atau telefon pintar berserta aplikasi yang bersesuaian. Malah dengan adanya teknologi, proses pembelajaran jarak jauh juga sudah boleh dilakukan secara maya yang dipanggil e-learning.
#3 Berita dan penyebaran maklumat lambat diterima
Kewujudan portal online dan media sosial pada masa kini menjadikan sebarang berita dan penyebaran maklumat menjadi sepantas kilat. Malah anda juga boleh mendapat kemaskini dan sebarang perkembangan dari kenalan dan keluarga secara terus, menerusi laman media sosial mereka.
Semua in bagaimanapun agak mustahil pada 25 tahun yang lalu di mana penyebaran maklumat masih lagi bergantung pada medium tradisional seperti surat khabar, televisyen dan radio.
Keadaan ini membuatkan banyak berita penting dari dalam dan luar negara lambat tiba ke pengetahuan masyarakat.
#4 Melakukan panggilan video bersama orang tersayang
Suatu masa dahulu, satu-satunya cara untuk berhubung dengan orang tersayang adalah dengan berutus surat. Dengan adanya teknologi, manusia mula berhubung dengan telefon, telegram, diikuti e-mel dan mesej ringkas.
Evolusi teknologi menjadikan semua aktiviti ini lebih pantas dan percuma iaitu dengan menggunakan aplikasi perbualan seperti Whatsapp, Telegram, KakaoTalk, WeChat dan banyak lagi.
Malah internet berkelajuan tinggi seperti jalur lebar dan rangkaian mudah alih 4G dan 5G yang begitu laju dan stabil membolehkan anda berhubung dan melakukan panggilan video dengan sesiapa sahaja di seluruh pelosok dunia.
Sejauh mana jarak anda dengan orang tersayang, pasti terasa lebih dekat apabila dapat berbual sambil menatap wajah mereka di hadapan skrin.
#5 Buat duit hanya dengan duduk di hadapan komputer/peranti
Suatu masa dahulu, agak mustahil untuk anda menjana wang hanya dengan duduk di hadapan komputer atau workstation anda sahaja.
Tiada istilah kedai online atau laman e-dagang, yang ada hanyalah kedai fizikal di mana segalanya harus dilakukan secara bersemuka. Bahkan kaedah pembayaran pada waktu itu juga agak terhad iaitu secara tunai atau buku 555 (ops! hutang) sebelum kaedah pembayaran kad kredit diperkenalkan.
Namun dengan adanya internet dan sistem payment gateway moden, kebanyakan perniagaaan pada hari ini dapat dilakukan secara hibrid iaitu gabungan kedai fizikal dan perniagaan di dalam talian. Bahkan untuk sesetengah perniagaan, kedai fizikal bukan lagi satu keperluan.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menjana pendapatan dengan menjadi seorang influencer. Anda hanya perlu bijak memanfaatkan pengaruh dan populariti yang anda miliki dan mengubahnya menjadi mata pencarian.
Berdasarkan semua ini, boleh disimpulkan bahawa teknologi memainkan peranan yang begitu penting dalam kehidupan harian kita.
Namun semua itu tidak dikecapi dengan begitu sahaja, kestabilan rangkaian komunikasi yang ada kini turut dibantu dengan kehadiran syarikat telekomunikasi (Telco) terkemuka seperti Maxis.
0 Comments