Assalamualaikum. Setelah sekian lama menunggu maka tibalah masanya untuk Abe Kie sekeluarga berangkat ke Dungun, Terengganu untuk menghantar anak ketiga iaitu Nur Alin Dahlia atau lebih senang dipanggil Yaya bagi melanjutkan pelajaran di UiTM dalam kursus Diploma Pengurusan Pelancongan. Pendaftaran pelajar-pelajar UiTM adalah yang paling lewat diadakan berbanding kolej dan universiti awam yang lain. Kawan-kawan Yaya yang melanjutkan pelajaran di kolej matrikulasi, politeknik, asasi, tingkatan 6 dan IPG sudah lama memulakan sesi pembelajaran mereka.
Kami bertolak dari Tanah Merah, Kelantan pada hari Sabtu, 27 September 2025 pada jam 9.30 pagi melalui daerah Machang, Pasir Puteh, Besut, Setiu, Kuala Nerus sebelum sampai di Dungun 4 jam kemudian. Mujurlah Abe Kie melalui LPT2. Jika jalan lain memang lewat la sampai.
Setibanya di rumah Abe Zul iaitu abang ipar Abe Kie, anak saudara Abe Kie kemudiannya datang untuk memberikan kunci rumah inap desa. Urusan tempahan ni Zaim, anak saudara Abe Kie yang uruskan. Sewa cuma RM150 semalam. Terletak di Lorong 5, Jalan Melati, Dungun. Boleh je duduk sementara menunggu tarikh pendaftaran pada keesokan harinya.
Pada hari Ahad tu kami terus check out dari inap desa dan bertolak ke UiTM pada jam 8.40 pagi. Tak jauh pun jarak dari inap desa ke UiTM tu. Tak sampai 4km pun. Mula-mula masuk ke kawasan UiTM tu aku menemani Yaya untuk mengambil kunci bilik dahulu sementara isteri mencari tempat parkir kereta. Kemudian dia datang ke Kolej Kediaman Duyung A untuk menurunkan barang-barang Yaya. Isteri dan anak-anak yang lain terus membawa masuk barang-barang tu ke dalam bilik asrama sementara Abe Kie pergi mencari tempat parkir kereta. Tapi Abe Kie parkir di tepi jalan saja. Mujurlah pergerakan kenderaan pada hari itu berjalan lancar biarpun banyak kereta yang masuk. Tahniah kepada pengurusan UiTM yang memastikan aliran trafik terkawal semasa hari pendaftaran.
Pada jam 10 pagi proses pendaftaran sudah selesai. Sebelum balik tu kami bergambar dahulu. Yaya ini anak ketiga yang menyambung pendidikannya. Kakak yang sulung, Dalilah belajar di UiTM Shah Alam manakala yang kedua Dalili belajar di KPTM Kota Bharu. Selepas ini sunyilah rumah kami apabila Dalilah pun akan kembali ke kampus pada minggu seterusnya. Dalili pula tetap balik ke rumah setiap hujung minggu. Cuma pada hari biasa cuma tinggal saya, isteri dan anak bongsu bernama Imtinan di rumah.
Beginilah pemandangan di depan Kolej Kediaman Duyung A. Saya harap kemudahan yang disediakan cukup selesa untuk Yaya tinggal di sini selama 1 semester. Jika ada rezeki boleh tinggal di kolej lagi pada semester 2. Jika tidak, kenalah cari rumah sewa di kawasan berhampiran kampus.
Masa jalan-jalan di dalam kampus tu sempatlah tengok Cafetaria Perhentian ni. Sedihnya tengok keadaannya yang tidak ceria. Cat di bangunannya nampak luntur dan berkarat. Bangunan nampak buruk dan kusam. Diharapkan pihak UiTM dapat membaikpulih bangunan ini agar nampak lebih cantik.
Sebelum bertolak balik kami sempat membeli keropok dan snek di Kedai Keropok Sri Sura. Kami balik melalui Jalan Pantai kerana isteri mahu membeli keropok lekor yang sedap di Bayu Enterprise, Merang. Keropok lekor di sini sedap. Sebab itulah ramai pelanggan yang sanggup beratur lama untuk membelinya.
Perjalanan diteruskan sehingga Penarik di mana kami berhenti untuk makan tengahari di sebuah kedai makan celup tepung. Harga pun mahal juga. Cukuplah sekali makan di sini sekadar untuk merasakan susana makan di tepi pantai. Jika buat sendiri sotong celup tepung tu pasti lebih berbaloi rasanya.
Selesai makan kami meneruskan perjalan ke Kelantan tapi sebelum tu kami berhenti solat di Masjid Tembila, Besut dahulu. Kami selamat sampai di rumah pada jam 5.10 petang. Pada malam tu Abe Kie tidur awal kerana sangat letih dan mengantuk.
Demikianlah perjalanan pergi dan balik ke Dungun, Terengganu untuk menghantar Yaya ke UiTM. Terima kasih kerana sudi membaca coretan Abe Kie ini. Abe Kie berdoa agar Yaya dapat menyesuaikan diri di kampus dan belajar bersungguh-sungguh demi segulung diploma. Aamiin.
.jpg)
.jpg)
.jpg)



0 Comments